Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan
GENEVA, SWITZERLAND, Ahad, 24 Mei. - Negara Brunei Darussalam (NBD) berserta negara-negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation - WHO) menyertai Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-79 (WHA79), yang sedang berlangsung pada 18 hingga 23 Mei 2026, di Geneva, Switzerland bagi membincangkan isu-isu keutamaan kesihatan awam dan membentuk hala tuju dasar kesihatan global.
Delegasi NBD diketuai oleh Wakil Tetap NBD ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland, Puan Yang Terutama Dayangku Mazlizah binti Pengiran Haji Mahalee, dan disertai oleh beberapa pegawai kanan Kementerian Kesihatan.
Perhimpunan tahun ini bertemakan 'Membentuk Semula Kesihatan Global : Tanggungjawab Bersama' (Reshaping Global Health: A Shared Responsibility), dan semasa sesi plenari, Puan Yang Terutama Dayangku Mazlizah telah pun menyatakan bahawa walaupun beberapa pencapaian telah pun diraih seperti yang dihuraikan di dalam Results Report 2025 dibawah WHO 13th General Programme of Work, namun masih terdapat jurang yang boleh menyebabkan pencapaian Sustainable Development Goals berkaitan kesihatan menjelang 2030 tersasar.
Penularan Hantavirus dan pengisytiharan kecemasan kesihatan awam Public Health Emergency of International Concern baru-baru ini bagi wabak Ebola, mengingatkan dunia bahawa tiada negara yang dapat dilindungi sepenuhnya secara berasingan, dan bertepatan masanya dengan tema perhimpunan tahun ini.
NBD telah pun mengetengahkan tiga keutamaan, iaitu bagi memperkukuh pembiayaan kesihatan global yang mampan dan fleksibel bagi memastikan WHO terus responsif serta berkesan, dan menerapkan pemantauan berasaskan Kecerdasan Buatan (AI), platform kesihatan digital dan risikan wabak masa nyata sebagai pelaburan teras kesihatan awam.
Seterusnya, NBD juga menegaskan bahawa keselamatan kesihatan harus dibina berasaskan kepercayaan dan walaupun masa tambahan diperlukan untuk memuktamadkan rundingan Pathogen Access and Benefit-Sharing Annex, kepentingan dialog dan kerjasama multilateral untuk akses yang saksama bagi memanfaatkan sains, teknologi dan tindak balas pandemik perlu dimantapkan.
Pencegahan sebagai asas sistem kesihatan yang berdaya tahan perlu diteruskan, terutamanya melalui imunisasi dan penjagaan kesihatan asasi, dengan NBD telah pun mengenalkan vaksin pneumokokal konjugat ke dalam Program Imunisai Kebangsaan (Expanded Programme on Immunization – EPI) serta vaksin TDAP (Tetanus, Diphtheria, and Acellular Pertussis) untuk ibu-ibu mengandung bagi melindungi golongan 'vulnerable' dan mengukuhkan keyakinan masyarakat.
WHA79 kali ini turut membincangkan pelbagai isu kesihatan awam dan global yang penting termasuk berkaitan program belanjawan dan urus tadbir, isu-isu kritikal termasuk penyakit tidak berjangkit, serta kesiapsiagaan dan tindak balas pandemik kepada kecemasan kesihatan, Agenda Imunisasi 2030, Liputan Kesihatan Sejagat 2 (Universal Health Coverage), kekebalan antimikrobial, pengukuhan seni bina kesihatan global, pembiayaan mampan kesihatan, transformasi kesihatan digital, serta akses kepada ubat dan teknologi kesihatan.
Penyertaan NBD di perhimpunan berkenaan menunjukkan komitmen berterusan negara terhadap kerjasama kesihatan antarabangsa, solidariti global, serta tindakan bersama dalam memperkukuh sistem kesihatan yang berdaya tahan dan saksama, untuk memajukan keutamaan kesihatan negara di samping meneroka peluang inovasi, pembangunan kapasiti, dan penyelarasan dasar selaras dengan amalan kesihatan terbaik global.